Selasa, November 04, 2008

Siri 3 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik Ketiga Rasulullah s.a.w lakukan ialah "meraikan kesederhanaan dan menjauhi daripada perkara yang membosankan"(Shuhadak Mahmud,2001). Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat dengan berhati-hati, iaitu mengambil kira masa yang sesuai dan keadaan mereka supaya pendidikan yang dilakukannya menimbulkan kesan yang baik dan menjauhkan daripada kebosanan.

Hal ini memaparkan bahawa Rasulullah s.a.w telah mendedahkan teknik memelihara keadaan minat pendengar atau pelajar perlu diberi perhatian. Perlanggaran disiplin oleh pelajar sekolah yang kian berlaku hari ini antaranya berpunca daripada rasa bosan belajar. Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan supaya matlamat pengajaran dan pembelajaran tercapai.

Seseorang pendidik harus cekap mengendalikan pengajaran dan menguruskan kelas supaya rasa bosan dapat diatasi. Penyelesaiannya memerlukan pendidik menguasai kepelbagaian teknik pengajaran supaya mampu memenuhi kepelbagaian ragam pelajarnya. Akhirnya, pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana kondusif dan ceria, seterusnya memotivasikan pelajar untuk terus belajar.

Inlah misi yang harus pendidik fikirkan, iaitu 'bagaimana' menjadikan pengajarannya mampu menimbulkan motivasi belajar. Selamat Mencuba.

Tiada ulasan: