Sabtu, November 15, 2008

Dilema PPSMI


Keputusan UPSR telah diketahui dengan keseluruhannya mengalami peningkatan. Utusan Malaysia(14 Nov.2008) melaporkan seramai 159,234 daripada 511,875 calon yang dijadikan sampel telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan dan menjadikan berita utamanya dengan 'Keputusan UPSR lebih baik'. Namun, dibandingkan jumlah keseluruhan calon dan tempoh enam tahun yang telah dilalui memaparkan bahawa kejayaan perlaksanaan PPSMI perlu dikaji secara berhati-hati demi kejayaan generasi hadapan.

Laporan Utusan Malaysia (14 Nov. 2008) juga melaporkan kenyataan Menteri Pelajaran , Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan "Saya mahu katakan disini apa jua keputusan ia tidak berkaitan kepada UPSR. Kita tetapkan pada tahun ini kerana ia peringkat terakhir selepas enam tahun melalui PPSMI" Seterusnya, Datuk Seri Hishamuddin mengatakan lagi "Orang yang memahami isu PPSMI tahu kerajaan tidak akan membuat keputusan berpandukan UPSR saja kerana banyak perkara harus dipertimbangkan seperti kesan kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan dan ibunda, kesan kepada pembelajaran dan pengajaran matematik dan sains".

Kiranya ini menjadi asas pertimbangan Yang berhormat Menteri, kita amat mengalu-alukan dan berharap dapat dikotakan. Sebagai pencinta bahasa Melayu, kita amat berharap, bahasa Melayu kembali menjadi bahasa utama dunia pendidikan. Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris berperanan penting, namun di peringkat pendidikan asas, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar utama kerana ia bahasa ibunda dan memudahkan sesuatu ilmu diturunkan kepada penerimanya.

Kajian terhadap PPSMI perlu dilakukan secara jujur dan keputusan perlaksanaan seterusnya hendaklah berhati-hati supaya yang dikejar diperolehi dan yang dikendong terpelihara. Kepentingan bangsa dan nusa mestilah menjadi asas pertimbangan. Telah banyak kajian sama ada oleh ahli akademik , NGO , budayawan, dan linguis Melayu tentang isu PPSMI. Seharusnya laporan dan pandangan mereka diberi perhatian agar martabat bahasa Melayu dikembalikan.

Kekadang isu PPSMI ini menjadi gurauan "... mengajar bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu, ...ni nak mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris". Nilailah ungkapan ini, mungkin ada di mana-mana sekolah.

Bahasa Jiwa Bangsa

1 ulasan:

Awang Kata berkata...

Ajar bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu memang itu sepatutnya. Ini namanya tidak khianat bahasa sendiri. Tetapi dalam PPSMI, bahasa sendiri dikhianati. Kita buang kebangsawanan bangsa seperti yang terungkap dalam 'bahasa jiwa bangsa'. Walau apa alasan diberi ia tetap mengkhianati bahasa bangsa itu. PPSMI tetap khianti bahasa Melayu.