Rabu, April 21, 2010

Perlukah Ada Batasan Alam Siber?

Dunia siber mendekatkan yang jauh dan memesrakan yang dekat. Hubungan yang terbina berasaskan gerak hati manusia yang memerlukan manusia lain dalam kehidupannya. Justeru, kemesraan akan terjalin apabila ciri keterbukaan menjadi teras dalam hubungan ini. Namun begitu, keterbukaan mestilah dibentengi oleh agama dan budaya bangsa. Mari bersama membina bangsa dengan acuan kita bukannya hanyut bersama dalam arus globalisasi dengan nilai keterbukaan tanpa batasan...mungkin puisi berikut sesuai untuk direnungi(puisi dipetik daripada majalah Solusi, Isu ke-18)


Pencarian


Suatu kisah
Kisah benar belaka
Seorang lelaki dalam pencarian
Mencari pemilik rusuk kirinya
Sudah bertahun bersendirian
Muncullah calon yang entah ke berapa
Seperti biasa
Diusulkan emak tersayang.


Bukan calang-calang calon yang diusulkan
Lulusan universiti Timur Tengah
Menghormati permintaan si anak
Yang mahu pendamping solehah
Sejuk mata memandang
Bertudung labuh litup
Pandai berbahasa Arab
Pendek kata tip top!


Si lelaki mulakan istikharah
Hampir berminggu
Setelah meneliti gambar
Mula mencari maklumat
Sebelum sesi taaruf bermula.


Si lelaki menjenguk ke web
Laman Friendster kegemaran ramai
Yang kini mungkin Facebook
Satu keajaiban!
Si lelaki tidak pernah punya web sedemikian
Tiba-tiba tergamam
Si gadis masih anggun
Bertudung labuh litup
Bergambar sakan
Aduh!


Terkejut bukan kepalang
Calon solehah direject tanpa ihsan
Bukan menjadi pilihan
Hanya kerana gambar ditayang
Pemilihan terbatal.


Dia pernah berkata
perempuan cantik itu
tidak memandang dan tidak dipandang
perempuan cantik itu
tidak mengenali dan tidak dikenali
perempuan cantik itu
tidak menegur dan tidak ditegur.


Akhirnya
Solehah kempunan calon soleh
Merayu untuk dipertimbangkan
Tapi sayang sekali
Si lelaki tetap
Tidak berganjak dengan keputusan.


Wahai muslimah
Aku dan kamu
Mari mempelajari, mencontohi
Watak-watak wanita salafussoleh
Sifat, pengorbanan dan perjuangan
mereka
kerana wanita solehah itu
Lebih baik daripada
Seribu lelaki yang tidak soleh.


Nor Azleen Shamshuddin
Kluang, Johor
Solusi Isu ke-18, hlm.102

Isnin, April 19, 2010

Cerita di dalam Kelas




Antara teknik kekalkan keriangan murid dalam kelas ialah menyelitkan cerita. Suka mendengar cerita adalah sifat lazim manusia. Menyampaikan penerangan berterusan tanpa cerita bersesuaian menjadikan murid tertekan ketika belajar. Teringat pengalaman ketika belajar menjadi guru (USM, 1989-1993), sentiasa tertunggu-tunggu cerita yang ingin disampaikan oleh Encik Ahmad Khamis, Pensyarah Pusat pengajian Ilmu Pendidikan, begitu juga apabila bertanya anak-anak, siapakah guru yang seronok untuk belajar...jawab mereka... guru yang suka bercerita. Dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar, penulisnya telah mencadangkan aktiviti bercerita sebagai salah satu teknik. Kupasan tentang kepentingan dan kaedahnya telah diterangkan sebanyak 17 halaman. Begitulah pentingnya teknik ini di dalam kelas. Cubalah kita bersama tingkatkan diri menjadi guru yang berkesan dan disukai pelajar.