Memaparkan catatan dengan label Didikan Nabi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Didikan Nabi. Papar semua catatan

Selasa, November 04, 2008

Siri 3 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik Ketiga Rasulullah s.a.w lakukan ialah "meraikan kesederhanaan dan menjauhi daripada perkara yang membosankan"(Shuhadak Mahmud,2001). Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat dengan berhati-hati, iaitu mengambil kira masa yang sesuai dan keadaan mereka supaya pendidikan yang dilakukannya menimbulkan kesan yang baik dan menjauhkan daripada kebosanan.

Hal ini memaparkan bahawa Rasulullah s.a.w telah mendedahkan teknik memelihara keadaan minat pendengar atau pelajar perlu diberi perhatian. Perlanggaran disiplin oleh pelajar sekolah yang kian berlaku hari ini antaranya berpunca daripada rasa bosan belajar. Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan supaya matlamat pengajaran dan pembelajaran tercapai.

Seseorang pendidik harus cekap mengendalikan pengajaran dan menguruskan kelas supaya rasa bosan dapat diatasi. Penyelesaiannya memerlukan pendidik menguasai kepelbagaian teknik pengajaran supaya mampu memenuhi kepelbagaian ragam pelajarnya. Akhirnya, pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana kondusif dan ceria, seterusnya memotivasikan pelajar untuk terus belajar.

Inlah misi yang harus pendidik fikirkan, iaitu 'bagaimana' menjadikan pengajarannya mampu menimbulkan motivasi belajar. Selamat Mencuba.

Rabu, Oktober 29, 2008

Siri 2 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik kedua Rasulullah s.a.w mendidik ialah mengajar secara beransur-ansur secara teliti dan mengikut aras keutamaan.


Maksud hadis daripada Sayyidina Jundab bin Abdullah beliau berkata: Kami bersama nabi dan umur kami ketika itu hampir baligh. Baginda mengajarkan kepada kami perkara yang berkaitan dengan keimanan sebelum mengajar al-Quran, selepas itu barulah kami belajar al-Quran, dan iman kami bertambah dengannya.


Rasulullah s.a.w telah menunjukkan bahawa seorang pengajar perlu merancang dengan teliti dan menyusun maklumat diajar mengikut keutamaan. Pendekatan moden menekankan kesediaan pelajar (pengetahuan sedia ada) perlu dilihat supaya pencapahan minda dan pemprosesan maklumat mudah dilakukan. Pendidik perlu mengajar secara terancang daripada umum kepada khusus, yang mudah kepada sukar.


Hal ini memaparkan bahawa kerja yang terancang dan tersusun amat penting agar kejayaan mampu dilonjakkan.

Selasa, Oktober 28, 2008

Siri 1 Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung

Didik Insan ingin kongsikan sedutan buku Nabi Muhammad S.A.W Guru dan Pendidik Terulung (BPT). Buku ini ditulis oleh As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan diterjemahkan oleh Hj.Shuhadak Mahmud (2001). Dalam buku ini dimuatkan 40 teknik pengajaran oleh Rasululullah s.a.w. Secara bersiri, Didik Insan cuba mengulas setiap teknik untuk iktibar dan diamalkan oleh kaum pendidik dan sesiapa sahaja yang menjadi pendidik atau pemimpin kepada mereka-mereka di sekelilingnya.

Teknik pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ialah menjadikan dirinya dan akhlaknya sebagai model pendidikan. Rasulullah s.a.w hanya memberikan arahan setelah sesuatu yang diarahkannya telah baginda laksanakan. Ini bermaksud baginda melakukannya dahulu, barulah baginda mengarahkan sahabat-sahabat lain melakukannya. Keadaan ini menunjukkan bahawa seorang pendidik atau pemimpin yang berkesan hendaklah bertindak sebagaimana diucapkan bukannya hanya pandai berkata-kata sahaja.

Dalam dunia pendidikan adakalanya kita membimbing murid dengan berkata "ikut apa yang cikgu cakap, jangan ikut apa yang cikgu buat". Jika ungkapan ini berterusan menjadi amalan kita maka murid akan terkeliru dengan kemurnian pendidikan. Menjadi pendidik yang berkesan, kita mestilah tahu dan mampu menjelaskan secara teori serta berkebolehan menunjukkan amalinya.

Menjadi guru yang berkesan harus ada kekuatan jiwa untuk belajar dan terus belajar supaya pengajaran dijalankan dengan penuh keyakinan. Pembelajaran yang berterusan menjadikan guru bersikap dinamik dan menguasai isi pelajarannya tanpa ada keraguan. Keyakinan dan penguasaan mendalam akhirnya membentuk seorang guru menjadi guru bukannya bekerja sebagai guru. Inilah gagasan yang perlu didokong demi kemajuan bersama. Jika guru gagal menjadi model kepada muridnya, siapa pula yang menjadi modelnya? Tentunya insan yang rapat dengan murid, iaitu rakan sebaya. Keadaan ini perlu dibetulkan dan gurulah seharusnya insan yang wajar menjadi idola murid-murid.