Jumaat, Oktober 31, 2008

Lambaian Kaabah


Perhimpunan agung umat Islam kembali tiba. Bermula hari ini rakyat Malaysia terpilih beroleh hidayah dipilih sebagai tetamu ALlah s.w.t. untuk mengerjakan ibadat haji. Perlaksanaan ibadat haji memerlukan pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ibadat haji yang berasaskan falsafah perjuangan Nabi Ibrahim alaihissalam, Nabi Ismail alaihissalam dan ibunya Siti Hajar mengimbau dan mengajar kita menjadi umat yang terpilih dan terbaik.

Namun begitu, dalam mengerjakannya kedapatan amalan dilakukan dengan mencampurkan ibadat dan adat. Inilah kecelaruan yang perlu dihalusi. Kini, masyarakat kian membesarkan kenduri untuk mengerjakan haji. Niat melakukannya baik dan memudahkan ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga berziarah dan bermaafan untuk penyucian jiwa dan penjalin silaturahim.

Pengendalian majlis ini ada yang menentang dan ada yang menyokong. Jika kita ingin melakukannya lakukan dengan sederhana dan menjaga adab keislaman. Di pantai barat diisi dengan bacaan Yaasin manakala di pantai timur diisi dengan solat sunat hajat. Kedua-dua pendekatan matlamat sama cuma cara memohon berbeza. Yang mana terbaik...wallahua'lam.

Jika diisi dengan bacaan Yaasin, adab terhadap buku Yaasin perlu dipelihara walaupun ia bukan kitab al-Quran. Dalam buku Yaasin terkandung ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t. Penghormatan kepada buku Yaasin seharusnya sama seperti menjaga adab dengan kitab al-Quran.




Jika al-Quran dibaca dengan kedudukan paling hormat meletakkannya pada rehal yang tinggi melepasi pusat ketika duduk maka buku Yaasin juga harus dihormati seperti itu. Setelah dibaca harap tidak diletakkan di betis atau antara kelangkang atau di lantai. Hormatinya kerana Surah Yaasin memiliki fadilat yang besar dan dianggap hati al-Quran. Jika berbaju Melayu atau berkemeja, poket di bahagian atas mungkin boleh disi dengan buku Yaasin ketika sedang berdoa bukannya meletakkan di tempat yang merendahkan tarafnya.

Moga rasa hormat terhadap ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t menjadikan kita insan terdidik dan beroleh keredhaanNya. Kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta semua bakal haji dan hajjah selamat mengerjakan haji semoga beroleh haji yang mabrur.

Khamis, Oktober 30, 2008

Malam Pertama di Alam Kubur





Setiap yang hidup pasti bertemu kematian. Hanya masa menentukannya. Kehidupan manusia bermula dengan persaingan untuk disenyawakan. Ada yang mati belum disenyawakan, ada yang mati sebelum dilahirkan, ada yang mati ketika dilahirkan, ada yang mati betul-betul selepas dilahirkan, ada yang tak mati-mati walaupun bertahun-tahun diserang pelbagai penyakit. Bilakah kematian menjelma hanya ALlah s.w.t yang tahu.

Orang yang paling bijak ialah mereka yang sering mengingati mati. Kenapa mereka dikatakan bijak? Kebijakan atas persediaan berhijrah ke alam baru dan bersedia meninggalkan keluarga tanpa kerisauan dan keluarga yang kebingungan atas kematiannya.

Semalam Didik Insan ditinggalkan oleh jiran yang dikenali sejak 33 tahun yang lalu. Seminggu lalu berjumpa tidak terfikir beliau akan kembali menemui ALlah s.w.t. Manusia biasa tidak tahu tanda-tanda orang lain akan menghadap ALlah. Lazimnya setelah seseorang meninggal dunia barulah kita tahu ada tabiatnya yang ganjil.

Sesungguhnya jarak ke alam kubur sangatlah pendek, jika pagi kita kembali kepada-Nya,petang kita sudah di alam kubur...itu jarak masa yang lazim disempurnakan. Hak jenazah ialah segerakan perhitungannya, tanggungjawab yang hidup uruskan secepat mungkin persiapan jenazah untuk ke malam pertama di alam kubur.

Dari ALlah kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Marilah sentiasa bermuhasabah dan bersedia untuk bertemu di muara Pencipta.

Rabu, Oktober 29, 2008

Siri 2 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik kedua Rasulullah s.a.w mendidik ialah mengajar secara beransur-ansur secara teliti dan mengikut aras keutamaan.


Maksud hadis daripada Sayyidina Jundab bin Abdullah beliau berkata: Kami bersama nabi dan umur kami ketika itu hampir baligh. Baginda mengajarkan kepada kami perkara yang berkaitan dengan keimanan sebelum mengajar al-Quran, selepas itu barulah kami belajar al-Quran, dan iman kami bertambah dengannya.


Rasulullah s.a.w telah menunjukkan bahawa seorang pengajar perlu merancang dengan teliti dan menyusun maklumat diajar mengikut keutamaan. Pendekatan moden menekankan kesediaan pelajar (pengetahuan sedia ada) perlu dilihat supaya pencapahan minda dan pemprosesan maklumat mudah dilakukan. Pendidik perlu mengajar secara terancang daripada umum kepada khusus, yang mudah kepada sukar.


Hal ini memaparkan bahawa kerja yang terancang dan tersusun amat penting agar kejayaan mampu dilonjakkan.

Selasa, Oktober 28, 2008

Siri 1 Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung

Didik Insan ingin kongsikan sedutan buku Nabi Muhammad S.A.W Guru dan Pendidik Terulung (BPT). Buku ini ditulis oleh As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan diterjemahkan oleh Hj.Shuhadak Mahmud (2001). Dalam buku ini dimuatkan 40 teknik pengajaran oleh Rasululullah s.a.w. Secara bersiri, Didik Insan cuba mengulas setiap teknik untuk iktibar dan diamalkan oleh kaum pendidik dan sesiapa sahaja yang menjadi pendidik atau pemimpin kepada mereka-mereka di sekelilingnya.

Teknik pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ialah menjadikan dirinya dan akhlaknya sebagai model pendidikan. Rasulullah s.a.w hanya memberikan arahan setelah sesuatu yang diarahkannya telah baginda laksanakan. Ini bermaksud baginda melakukannya dahulu, barulah baginda mengarahkan sahabat-sahabat lain melakukannya. Keadaan ini menunjukkan bahawa seorang pendidik atau pemimpin yang berkesan hendaklah bertindak sebagaimana diucapkan bukannya hanya pandai berkata-kata sahaja.

Dalam dunia pendidikan adakalanya kita membimbing murid dengan berkata "ikut apa yang cikgu cakap, jangan ikut apa yang cikgu buat". Jika ungkapan ini berterusan menjadi amalan kita maka murid akan terkeliru dengan kemurnian pendidikan. Menjadi pendidik yang berkesan, kita mestilah tahu dan mampu menjelaskan secara teori serta berkebolehan menunjukkan amalinya.

Menjadi guru yang berkesan harus ada kekuatan jiwa untuk belajar dan terus belajar supaya pengajaran dijalankan dengan penuh keyakinan. Pembelajaran yang berterusan menjadikan guru bersikap dinamik dan menguasai isi pelajarannya tanpa ada keraguan. Keyakinan dan penguasaan mendalam akhirnya membentuk seorang guru menjadi guru bukannya bekerja sebagai guru. Inilah gagasan yang perlu didokong demi kemajuan bersama. Jika guru gagal menjadi model kepada muridnya, siapa pula yang menjadi modelnya? Tentunya insan yang rapat dengan murid, iaitu rakan sebaya. Keadaan ini perlu dibetulkan dan gurulah seharusnya insan yang wajar menjadi idola murid-murid.

Selasa, Oktober 21, 2008

Kerjasama


Masyarakat yang harmoni membangun atas prinsip kerjasama yang luhur. Organisasi yang mantap maju kerana anggotanya saling bekerjasama. Kerjasama menjadikan yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Generasi terdahulu berpesan ke lurah sama dituruni, ke gunung sama didaki, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Jelaslah bahawa prinsip kerjasama amat ditekankan. Sekadar contoh, tiga ungkapan peribahasa di atas diutarakan menggambarkan bahawa generasi terdahulu telah memikirkan kepentingan prinsip kerjasama dan berpesan kepada kita agar terus bermuafakat dan bekerjasama.

08 Disember 1941 tentera Jepun memulakan serangan ke Tanah Melayu dan menawan seluruh Tanah Melayu hanya dalam masa 90 hari. Apakah rahsia kejayaan mereka? Tentera Jepun yang bergerak atas semangat imperialisme dan kesetiaan kepada raja menunjukkan sikap bekerjasama yang tinggi dalam pasukannya daripada angkatan laut dan angkatan darat.


Angkatan laut yang mendarat di Pantai Sabak dan angkatan darat memasuki Tanah Melayu melalui Siam memaparkan daya kerjasama yang tinggi antara menjadikan pelan serangan mereka berjalan lancar. Apa yang terjadi kepada tentera British di Tanah Melayu, siapa yang mempertahan daripada serangan? Hanya beberapa pasukan terlatih dan ramai yang tidak terlatih. British menunjukkan sikap kerjasama yang rendah dengan rakyat tempatan dan lebih memikirkan keselamatan mereka. Akhirnya selepas 90 hari tentera Jepun menawan Tanah Melayu sehingga Singapura.

Gambar di atas menunjukkan semangat kerjasama yang mantap dalam pasukan Ferrari, namun kemantapan kerjasama yang zahir kelihatan masih belum mampu melonjakkan pasukan mereka sebagai yang terbaik. Kelihatan kesemua petugas berperanan dengan persembahan yang tinggi namun paparan seperti ini sukar menewaskan pesaing mereka pasukan McLaren yang mendahului hanya 14 saat. Apa yang penting permulaan yang baik dan mengekalkan momentum terbaik menjadikan antara mereka sebagai juara.

Kerjasama sebagai prinsip kerja berpasukan perlu menjadi pegangan utama dalam berorganisasi. Setiap anggota ada peranan masing-masing. Yang tua kaseh yang muda, yang muda hormat yang tua. Tiada siapa harus berasa yang terbaik, saling melengkapkan adalah tunjang keharmonian. Bergerak bersama seiring selangkah pasti kejayaan akan digapai.
Salam Muhibbah.

Dedikasi


Dedikasi, nilai keperibadian yang memotivasikan hadapi dugaan dan cabaran. Dedikasi bermaksud tabah, rela, ikhlas, jujur, sedia berkorban, dan cekal dalam bertindak. Nilai ini menjadi amalan mampu menjadikan kita tenang di kala susah, tabah tika dilanda malang, gagah dalam bertindak, dan harapan semua pihak.

Pekerja yang berdedikasi membentuk organisasi yang gemilang. Bapa yang berdedikasi menjadikan keluarga gemilang. Ibu yang berdedikasi menjadikan keluarga terurus. Pelajar yang berdedikasi pastinya pelajaran cemerlang. Rakyat yang berdedikasi negara akan maju.

Berdedikasi dalam bertindak, tetapkan matlamat, rancangkan kerja, kerjakan rancangan. Fikirkan kejayaan, mulakan langkah, kekuatan yang ada sebagai batu loncatan dan kelemahan yang ada sebagai sempadan. Selamat Maju Jaya.