Sejenak berfikir anda mampu menggoncang dunia, sejenak kealpaan anda hanyut oleh arus dunia
Jumaat, Oktober 31, 2008
Lambaian Kaabah
Perhimpunan agung umat Islam kembali tiba. Bermula hari ini rakyat Malaysia terpilih beroleh hidayah dipilih sebagai tetamu ALlah s.w.t. untuk mengerjakan ibadat haji. Perlaksanaan ibadat haji memerlukan pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ibadat haji yang berasaskan falsafah perjuangan Nabi Ibrahim alaihissalam, Nabi Ismail alaihissalam dan ibunya Siti Hajar mengimbau dan mengajar kita menjadi umat yang terpilih dan terbaik.
Namun begitu, dalam mengerjakannya kedapatan amalan dilakukan dengan mencampurkan ibadat dan adat. Inilah kecelaruan yang perlu dihalusi. Kini, masyarakat kian membesarkan kenduri untuk mengerjakan haji. Niat melakukannya baik dan memudahkan ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga berziarah dan bermaafan untuk penyucian jiwa dan penjalin silaturahim.
Pengendalian majlis ini ada yang menentang dan ada yang menyokong. Jika kita ingin melakukannya lakukan dengan sederhana dan menjaga adab keislaman. Di pantai barat diisi dengan bacaan Yaasin manakala di pantai timur diisi dengan solat sunat hajat. Kedua-dua pendekatan matlamat sama cuma cara memohon berbeza. Yang mana terbaik...wallahua'lam.
Jika diisi dengan bacaan Yaasin, adab terhadap buku Yaasin perlu dipelihara walaupun ia bukan kitab al-Quran. Dalam buku Yaasin terkandung ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t. Penghormatan kepada buku Yaasin seharusnya sama seperti menjaga adab dengan kitab al-Quran.
Jika al-Quran dibaca dengan kedudukan paling hormat meletakkannya pada rehal yang tinggi melepasi pusat ketika duduk maka buku Yaasin juga harus dihormati seperti itu. Setelah dibaca harap tidak diletakkan di betis atau antara kelangkang atau di lantai. Hormatinya kerana Surah Yaasin memiliki fadilat yang besar dan dianggap hati al-Quran. Jika berbaju Melayu atau berkemeja, poket di bahagian atas mungkin boleh disi dengan buku Yaasin ketika sedang berdoa bukannya meletakkan di tempat yang merendahkan tarafnya.
Moga rasa hormat terhadap ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t menjadikan kita insan terdidik dan beroleh keredhaanNya. Kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta semua bakal haji dan hajjah selamat mengerjakan haji semoga beroleh haji yang mabrur.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan