Rabu, November 19, 2008

Didik Diri Memimpin Diri






Didiklah diri sentiasa memimpin diri agar sentiasa berada di landasan keredhaan ALlah. Marilah bersama-sama kita merenungi dan menghayati maksud ayat Al-Quran Surah Qaaf dari ayat 16 hingga 35 seperti berikut:

“Sesungguhnya kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa sedia (mencatatnya).

(Apabila sampai ajal seseorang) datanglah sakaratul-maut membawa kebenaran yang telah dijanjikan, (serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): ‘Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!’ Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati). Saat itulah hari berlakunya amaran yang telah diberikan.

(Setelah itu) datanglah setiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pengiring dan (yang satu lagi menjadi) saksi. (Serta dikatakan kepadanya), ‘Sesungguhnya engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami singkapkan tutupan mata daripada engkau, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelas perkara-perkara hari akhirat).’

Malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya berkata, ‘Inilah (kitab catatan amalan) yang ada disisiku.’ (Setelah setiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua-dua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): ‘Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahannam semua orang yang sangat engkar dan degil (dalam kekufuran).’ ‘Yang sangat menghalangi kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragui kebenaran.’

‘Yang menyembah sesuatu di samping Allah. Maka, humbankanlah dia oleh kamu berdua ke dalam azab yang amat berat.’ Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.’ Allah berfirman: ‘Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku, padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang yang bersalah).’

‘Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Ku.’ (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahannam, ‘Adakah engkau sudah penuh? ‘Ia menjawab, ‘Adakah lagi sebarang tambahan?’ (Ingatkanlah pula hari) didekatkan syurga bagi orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): ‘Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada setiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadah), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah).’

‘(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.’ (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata), ‘Masuklah kamu ke dalam syurga dengan selamat sejahtera. Hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal.’

Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ; dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurniaan yang tidak terlintas di hati mereka).”

Tiada ulasan: