Sejenak berfikir anda mampu menggoncang dunia, sejenak kealpaan anda hanyut oleh arus dunia
Khamis, November 06, 2008
Melepasi Sempadan
Senator Barrack Obama mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama dipilih Presiden Amerika Syarikat. Kehadirannya sebagai Presiden Amerika Syarikat memaparkan bahawa generasi Amerika Syarikat yang baru telah bermula, iaitu kepemimpinan multi etnik. Perjuangan politik yang melepasi sempadan keturunan dan bangsa sedang menghambat generasi baru Amerika dan beberapa wilayah termasuk Malaysia.
Bagi membolehkan seseorang menjadi pemimpin kepada bangsa yang pelbagai maka peribadi pemimpin juga perlu mampu dan menampakkan kecenderungannya memelihara dan memajukan kesemua keturunan dan bangsa.
Islam telah mengajar bahawa sempadan keturunan dan bangsa perlu dilepasi dan tiada prasangka atas sifat fizikalnya sebagaimana sebahagian generasi awal dahulu mempertikai peranan Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan bagi kali pertama atas sifatnya berbangsa Habsyi dan keturunan hamba.
Oleh itu, bagi memahamkan manusia tentang kepelbagaian keturunan dan bangsa, ALLah s.w.t menurunkan Ayat 13 Surah Al-Hujurat yang bermaksud "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALlah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya ALlah Maha mengetahui lagi Maha Mengenali".
Islam juga mengajar bahawa kecintaan atau semangat kebangsaan hendaklah bersandarkan keimanan. Rasa cinta terhadap bangsanya atas iman, iaitu mencintai bangsanya supaya kekal dengan keislaman dan mencintai bangsa lain supaya mendekati dan memahami Islam.
Inilah yang menjadi pegangan kita, bukannya kecintaan atas bangsa kerana kepentingan tertentu, kesemuanya hendaklah disandarkan kepada keimanan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
"Tiada beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang ia cintai untuk dirinya" Riwayat oleh Bukhari dan Muslim
Melepasi sempadan berasaskan keimanan kepada ALlah membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh alam. Akhir kata tahniah untuk Obama, moga kepelbagaian keturunannya merapatkan jurang Asia-Amerika.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan