Ahad, November 23, 2008

Yang Mana Dirisaukan??

Sekali lagi kita dihebohkan dengan projek ternakan khinzir selepas terheboh di Selangor. Kerajaan Kedah dilaporkan membenarkan sebuah syarikat menjalankan projek ternakan khinzir secara moden bagi menampung keperluan negeri Kedah. Projek ini difahamkan telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu, dan kerajaan yang ada kini hanya meneruskan sahaja.


Persoalan kepada kita, kenapa kita terlalu heboh dengan ternakan ini, sedangkan dalam Islam khinzir hanya haram kepada orang Islam dan Islam tidak mengharamkan penternakannya jika dilakukan oleh bukan Islam. Binatang ini telah ada sejak zaman dahulu dan turut sama menaiki bahtera Nabi Nuh 'alaihissalam.


"Sehingga apabila telah datang perintah Kami dan tungku-tungku memancarkan air,maka angkutkanlah segala jenis(binatang) secara berpasangan ke dalam kapal. Begitu juga keluargamu dan orang-orang yang beriman (diangkut semuanya), kecuali orang-orang yang telah ditetapkan kebinasaannya. Orang-orang beriman yang menyertainya jumlahnya sedikit sahaja".
(Surah Hud : 40)

Kiranya ALlah s.w.t tidak mengizinkan binatang ini hidup di bumi ini, nescaya ALlah s.w.t telah perintahkan binatang ini dibiarkan lemas ketika banjir besar melanda umat Nabi Nuh 'alaihissalam.

Bagaimana dengan isu lain hari ini seperti hubungan sejenis sama ada 'pengkid' dan 'gay'? Kaum seperti 'gay' telah dilaknat oleh ALlah s.w.t pada zaman Nabi Luth 'alaihissalam. Keadaan ini memaparkan bahawa antara isu khinzir dengan 'pengkid' atau 'gay' maka isu hubungan sejenis ini yang perlu dirisaukan bukannya isu ternakan khinzir.

Sepatutnya kita menerima cadangan kerajaan Kedah untuk menternak secara moden supaya alam sekitar lebih terkawal daripada membiarkan seperti hari ini. Persoalan diternak di tempat umat Islam sepatutnya diterima secara baik kerana inilah masanya untuk mempamerkan keadilan Islam yang memelihara hak bukan Islam. Tidakkah ini menjadikan Islam semakin diterima dan tidak ditakuti lagi.

Cubalah kita selongkar dan hebohkan tentang permasalahan masyarakat hari ini khususnya masa depan umat Islam tentang cabaran masa ini. Taip sahaja di ruangan 'carian' Google atau Yahoo bermacam keadaan yang merisaukan akan kita temui. Inilah cabaran sebenar yang perlu difikirkan oleh kita supaya masyarakat hari ini dan akan datang dapat hidup dalam keadaan yang diredhai ALlah.







Dan ada satu filem pendek tentang 'gay', lihat saja di blog ini http://razalizaidin.blogspot.com/
dan macam-macam yang membimbangkan kita.

Jumaat, November 21, 2008

Bersaing dengan Masa


Kehidupan adalah perlumbaan. Hanya mereka yang terlatih, cekal, bersemangat, dan berkeyakinan mampu ke garisan penamat (kejayaan). Ketika berlumba, antara saingan yang dihadapi ialah hambatan masa dan kekangan masa. Kedua-dua ini perlu diurus dengan cekap agar kemenangan dapat digapai.

Antara teknik menguruskan masa ialah menentukan keutamaan. Yang utama didahulukan dan sentiasa mengamalkan sikap menghargai masa. Musuh dalam pengurusan masa ialah sikap yang membenarkan kebocoran dan ketirisan penggunaan masa. Perancangan dan penetapan tindakan mampu mengatasi segala-galanya.

Masa perlu diurus dengan cekap. Kebocoran dan ketirisan dalam pengurusan masa menyebabkan kita kehilangan peluang dan ruang menggapai kejayaan. Oleh itu, didik diri merancang perjalanan kehidupan agar sesuatu tindakan dapat disiapkan sebelum masanya atau mengatasi masa penamat.

Perancangan yang tersusun menjadikan kita mampu menyaingi masa dan akhirnya menjadi pemenang.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” ( Maksud Surah Al-Asr ayat 1-3)

Rabu, November 19, 2008

Didik Diri Memimpin Diri






Didiklah diri sentiasa memimpin diri agar sentiasa berada di landasan keredhaan ALlah. Marilah bersama-sama kita merenungi dan menghayati maksud ayat Al-Quran Surah Qaaf dari ayat 16 hingga 35 seperti berikut:

“Sesungguhnya kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa sedia (mencatatnya).

(Apabila sampai ajal seseorang) datanglah sakaratul-maut membawa kebenaran yang telah dijanjikan, (serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): ‘Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!’ Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati). Saat itulah hari berlakunya amaran yang telah diberikan.

(Setelah itu) datanglah setiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pengiring dan (yang satu lagi menjadi) saksi. (Serta dikatakan kepadanya), ‘Sesungguhnya engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami singkapkan tutupan mata daripada engkau, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelas perkara-perkara hari akhirat).’

Malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya berkata, ‘Inilah (kitab catatan amalan) yang ada disisiku.’ (Setelah setiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua-dua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): ‘Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahannam semua orang yang sangat engkar dan degil (dalam kekufuran).’ ‘Yang sangat menghalangi kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragui kebenaran.’

‘Yang menyembah sesuatu di samping Allah. Maka, humbankanlah dia oleh kamu berdua ke dalam azab yang amat berat.’ Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.’ Allah berfirman: ‘Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku, padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang yang bersalah).’

‘Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Ku.’ (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahannam, ‘Adakah engkau sudah penuh? ‘Ia menjawab, ‘Adakah lagi sebarang tambahan?’ (Ingatkanlah pula hari) didekatkan syurga bagi orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): ‘Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada setiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadah), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah).’

‘(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.’ (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata), ‘Masuklah kamu ke dalam syurga dengan selamat sejahtera. Hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal.’

Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ; dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurniaan yang tidak terlintas di hati mereka).”

Ahad, November 16, 2008

Zahirkan Matlamat



Didik diri untuk kejayaan dengan menetapkan matlamat yang ingin dicapai. Matlamat sebagai penggerak tindakan. Matlamat sebagai impian, namun ia tidak sekadar impian yang diimpikan sahaja. Oleh itu, matlamat perlu ditulis, dilihat, dibaca, dan dihayati.

Matlamat yang ditulis menjadikan tenaga untuk bertindak mencapainya lebih tinggi daripada matlamat yang sekadar lintasan di hati. Setelah ditulis matlamat, lihatlah setiap hari, sebaik-baiknya sebelum tidur dan dilihat pula di pagi hari.

Melihat setiap hari matlamat yang ingin dicapai melahirkan ketekalan semangat. Inilah motivasi utama yang membolehkan ramai orang berjaya di dunia kerana memiliki ketekalan atau istaqamah dalam melakukan sesuatu. Selamat Maju Jaya.

Sabtu, November 15, 2008

Dilema PPSMI


Keputusan UPSR telah diketahui dengan keseluruhannya mengalami peningkatan. Utusan Malaysia(14 Nov.2008) melaporkan seramai 159,234 daripada 511,875 calon yang dijadikan sampel telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan dan menjadikan berita utamanya dengan 'Keputusan UPSR lebih baik'. Namun, dibandingkan jumlah keseluruhan calon dan tempoh enam tahun yang telah dilalui memaparkan bahawa kejayaan perlaksanaan PPSMI perlu dikaji secara berhati-hati demi kejayaan generasi hadapan.

Laporan Utusan Malaysia (14 Nov. 2008) juga melaporkan kenyataan Menteri Pelajaran , Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan "Saya mahu katakan disini apa jua keputusan ia tidak berkaitan kepada UPSR. Kita tetapkan pada tahun ini kerana ia peringkat terakhir selepas enam tahun melalui PPSMI" Seterusnya, Datuk Seri Hishamuddin mengatakan lagi "Orang yang memahami isu PPSMI tahu kerajaan tidak akan membuat keputusan berpandukan UPSR saja kerana banyak perkara harus dipertimbangkan seperti kesan kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan dan ibunda, kesan kepada pembelajaran dan pengajaran matematik dan sains".

Kiranya ini menjadi asas pertimbangan Yang berhormat Menteri, kita amat mengalu-alukan dan berharap dapat dikotakan. Sebagai pencinta bahasa Melayu, kita amat berharap, bahasa Melayu kembali menjadi bahasa utama dunia pendidikan. Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris berperanan penting, namun di peringkat pendidikan asas, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar utama kerana ia bahasa ibunda dan memudahkan sesuatu ilmu diturunkan kepada penerimanya.

Kajian terhadap PPSMI perlu dilakukan secara jujur dan keputusan perlaksanaan seterusnya hendaklah berhati-hati supaya yang dikejar diperolehi dan yang dikendong terpelihara. Kepentingan bangsa dan nusa mestilah menjadi asas pertimbangan. Telah banyak kajian sama ada oleh ahli akademik , NGO , budayawan, dan linguis Melayu tentang isu PPSMI. Seharusnya laporan dan pandangan mereka diberi perhatian agar martabat bahasa Melayu dikembalikan.

Kekadang isu PPSMI ini menjadi gurauan "... mengajar bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu, ...ni nak mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris". Nilailah ungkapan ini, mungkin ada di mana-mana sekolah.

Bahasa Jiwa Bangsa

Jumaat, November 14, 2008

Selamat Bercuti


Tiba hari yang menggembirakan, iaitu, cuti akhir tahun persekolahan. Inilah masa untuk menenangkan fikiran, masa untuk membaiki prestasi, masa untuk mengeratkan kekeluargaan, masa untuk menuntut ilmu, masa untuk menambah pengalaman, dan yang pentingnya masa diisi dengan aktiviti membangunkan diri.

Manusia yang berjaya sentiasa berubah, hari ini seharusnya lebih maju daripada semalam, dan hari esok semakin mematangkan kita. Jadikanlah masa bercuti ini untuk kemajuan diri, agama, nusa, dan bangsa.


Selamat bercuti.

Khamis, November 13, 2008

Antara Adat dengan Syarak







Insan terdidik oleh dua keadaan yang melingkunginya, iaitu, adat dan syarak. Lingkungan kehidupan bersandarkan syarak adalah kehidupan yang mengesakan ALlah dan itulah kehidupan yang membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Lingkungan kehidupan bersandarkan adat pula adalah kehidupan yang berteraskan amalan datuk nenek yang diwarisi zaman berzaman.

Kehidupan berasaskan syarak adalah kehidupan yang sederhana dan menjadikan kehidupan mudah untuk dilalui. Antara kehidupan yang dimudahkan oleh syarak ialah amalan perkahwinan. Perkahwinan adalah antara perkara yang perlu disegerakan agar pembangunan insan bergerak dengan sejahtera. Namun, lingkungan kehidupan bersandarkan adat dan menjadi pohon yang semakin membesar telah membatasi kehidupan sehingga sukar membezakan antara adat dengan syarie.

Syarak menganjurkan perkahwinan dipermudahkan dengan mas kahwin yang munasabah dengan kedudukan pengantin lelaki dan perempuan. Mas kahwin yang tinggi dan hantaran yang melambangkan kemewahan perlu direnung semula. Limpahan rezeki yang dinikmati disalurkan kepada yang lebih memerlukan adalah lebih bermanfaat daripada dihabiskan untuk keseronokan yang sementara.

Begitu juga dengan amalan menguruskan jenazah. Simpanan wang yang besar perlu disediakan agar jenazah terurus. Keluarga yang bersedih atas kematian ahli keluarganya perlu menyediakan sagu hati kepada mereka yang datang bersembahyang. Semakin tinggi peruntukannya semakin ramai yang dipanggil untuk menyembahyangkannya. Jika peruntukan kecil yang datang pun sedikit.

Akhirnya, jika adat semakin mendidik kita maka kehidupan semakin sukar dan kematian turut disukarkan. Ke mana masyarakat kita, adakah akhirnya fatwa perlu dikeluarkan atau pendidikan yang patut dimulakan. Marilah bersama-sama kita renungi di mana dan ke mana yang patut kita tujui?? Wallah hu'alam.

Selasa, November 11, 2008

Antara 'Sajak Kematian' dengan 'Puaka Niyang Rapik'



Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah mempercayai sesuatu khususnya apa-apa yang diucapkan oleh gurunya. Jika ibu dan ayahnya guru, tetap guru di sekolah juga yang dipercayainya.

Video 'Sajak Kematian' dikatakan menimbulkan trauma kepada kanak-kanak, benar, dan tidak boleh dinafikan. Namun, adakah trauma ini membawa keburukan atau kebaikan. Inilah persoalan yang perlu diuruskan oleh guru dan ibu bapa. Trauma yang timbul ialah ketakutan tentang kematian. Jika ketakutan tentang kematian maka inilah yang diingini oleh penerbitnya, iaitu menimbulkan ketakutan supaya insan-insan yang melihatnya memikirkan dan bersedia untuk menghadapi kematian termasuklah kanak-kanak.

Orang tua terdahulu berkata "melentur buluh biarlah dari rebungnya." Oleh itu, tayangan kepada kanak-kanak boleh dianggap betul kerana merekalah golongan yang masih suci dan mudah menerima apa-apa yang diajar. Jika tayangan ini kepada pelajar menengah atau golongan remaja, kesedaran atau impaknya tidak sehebat terhadap kanak-kanak. Mereka hanya sedar ketika ditayangkan dan ada antara mereka yang mempertikaikan isi kandungan dan menganggapnya hanya lakonan semata-mata. Pandangan seperti ini tiada pada kanak-kanak.

Bagaimana dengan trauma siri "Puaka Niyang Rapik". Drama ini juga menimbulkan trauma, kanak-kanak yang menontonnya akan ketakutan, takut ke dapur, takut bersendirian, malah takut di bilik air hingga ketika mandi pintu bilik air dibuka supaya ibu dan ayahnya dapat melihatnya. Adakah kita mendengar suara-suara mempertikaikan siri seram di TV3 ini?

Nabi pernah bersabda yang bermaksud orang paling bijak ialah mereka yang sering mengingati mati. Oleh itu, sepatutnya tayangan video 'Sajak Kematian' sepatutnya diterima dengan baik dan dialu-alukan sebagaimana masyarakat menerima siri seram di TV3 yang juga menimbulkan trauma. Malahan, siri seram TV3 ini boleh membawa kepada syirik apabila terlalu mempercayai apa-apa yang ditayangkan, berbanding 'Sajak Kematian' yang benar-benar akan ditempuhi oleh insan-insan bergelar kanak-kanak apatah lagi dewasa.

Isnin, November 10, 2008

Didik Matlamat


Didik diri menjadi insan gemilang. Capai kegemilangan dengan membina matlamat. Matlamat ditetapkan secara jelas dan mampu dihasilkan.


Matlamat yang jelas teras pembentukan sikap. Matlamat mendorong perancangan gerakan dan menentukan haluan. Tanpa matlamat gerakan kehidupan akan tersesat dan hanya berpusing-pusing pada medan tanpa hentian.


Langkah pertama mendidik diri menjadi insan gemilang ialah menetapkan matlamat. Tetapkan matlamat yang upaya pada diri untuk mencapainya. Elakkan diri daripada menjadi pewaris pada apa yang ada dan hanya memenuhi apa-apa yang diarahkan sahaja. Jadilah insan yang berani mencuba,berani gagal, dan berani mengubah keadaan diri dan persekitaran.
Selamat Maju Jaya.

Ahad, November 09, 2008

Puisi Untuk Renungan


Terdidikkah Insan?

Didik diri insan gemilang
Sabar di kala malang
Syukur di kala senang
Cekal di kala halang

Peka pada keadaan
Jaga dalam kelenaan
Tenang dalam kesibukan
Tertib dalam persaingan

Santuni yang tua
Kasehi yang muda
Ehsani yang derita
Sehati yang sejiwa

Usah alpa pada kesamaran
Usah pinta tanpa haluan
Usah ragu pada kerisauan
Usah leka pada kesenangan

Runtuni akan keesaan
Ratapi akan kesilapan
Renungi dengan keinsafan
Redhai dengan ketentuan....

9 November 2008

Kelahiran - Adi Putra

Jumaat, November 07, 2008

30 Tugas Insan Dalam Masyarakat

Setiap mukmin mempunyai 30 kewajipan terhadap saudara seagamanya. Kewajipan-kewajipan itu dianggap tidak terlaksana melainkan dia sendiri melakukannya ataupun dia dikecualikan atau dimaafkan oleh saudara seagamanya itu daripada melakukannya.

Kewajipan tersebut ialah:
1.memaafkan kesalahan
2.menunjukkan belas kasihan dan berbuat baik terhadapnya semasa dia berada di negeri asing
3.menyimpan rahsia
4.menghulurkan bantuan kepadanya semasa dia hampir jatuh
5.menerima dengan baik apabila dia meminta maaf
6.tidak menggalakkan sebarang umpatan terhadapnya
7.memberi nasihat yang baik kepadanya secara berterusan
8.menghargai persahabatannya
9.menepati apa-apa yang diamanahkannya
10.menziarahinya semasa dia sakit
11.berada bersama-samanya semasa dia meninggal dunia
12.menunaikan undangan dan menerima hadiah-hadiahnya
13.membalas pertolongan yang diberinya dengan cara yang sama


14.mengucapkan terima kasih atas pertolongan-pertolongannya
15.merasa terhutang budi kerana bantuan yang diberinya
16.memelihara kehormatan dan harta bendanya
17.membantu dia memenuhi segala keperluan
18.berusaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya
19.menyebut 'yarhamkallah' semasa dia bersin
20.memandu dan menasihatinya semasa dia kehilangan sesuatu
21.membalas salamnya apabila dia memberi salam
22.mempercayai kata-katanya(tidak memberi tafsiran yang buruk tentang kata-kata itu)
23.menerima pemberian-pemberiannya
24.memberi pengesahan semasa dia bersumpah
25.berbuat baik dan beramah mesra terhadapnya
26.bersimpati terhadapnya dan tidak memusuhinya


27.memberi dia pertolongan apabila dia tidak adil ataupun dia menjadi mangsa ketidakadilan (apa yang dimaksudkan dengan memberi pertolongan semasa dia tidak adil ialah agar dia dikawal daripada berlaku tidak adil,yang dimaksudkan dengan memberi pertolongan semasa dia menjadi mangsa ketidakadilan ialah dia diberi bantuan mendapatkan hak-haknya)
28.menahan diri supaya tidak merasa bosan terhadap dia
29.tidak meninggalkan dia di tengah-tengah kesusahan yang dialaminya
30.Sebarang perkara baik yang seorang mukmin inginkan untuk dirinya sendiri hendaklah diinginkan juga untuk saudara seagamanya, dan sebarang perkara yang dia tidak inginkan untuk dirinya sendiri hendaklah tidak diinginkan juga untuk saudaranya.

[Muhammad Mahdi ibn Abi Dharr al-Naraqi,Jami'al-Sa'adat(The Collector of Felicities)(Tehran:Islamic Propagation Organisation,1985,hlm.27 dalam Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam,INTAN:1994,144]

Khamis, November 06, 2008

Hari Terakhir Sebelum Peperiksaan



Untuk menghadapi peperiksaan dengan tenang dan jaya, perkara berikut perlu diberi perhatian:

1.Kukuhkan kejiwaan melalui restu ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan. Banyakkan membaca al-Quran dan solat hajat.

2.Tidur awal supaya rehat mencukupi dan bangun awal.

3.Bersarapan supaya badan memiliki tenaga dan otak dapat berfikir dengan cergas.

4.Kemaskan diri supaya sentiasa selesa di dewan peperiksaan.

5.Datang awal ke dewan peperiksaan,tiba 15-20 minit sebelum bermula.

6.Pastikan peralatan peperiksaan mencukupi.

7.Atur pengangkutan ke dewan peperiksaan, pastikan lancar.

Minggu Akhir Sebelum Peperiksaan






Minggu hadapan bermula peperiksaan SPM dan STPM, oleh itu pada minggu terakhir ini, kesihatan diri, kerehatan, kestabilan emosi, dan kekentalan semangat perlu dipelihara supaya usaha-usaha persediaan dan pembelajaran selama ini membuahkan hasil yang membanggakan.

Kesihatan diri dipelihara dengan menjaga pemakanan dan persekitaran. Tidur yang mencukupi supaya badan sentiasa segar dan semangat dipelihara agar sentiasa bersemangat dan berkeyakinan hadapi peperiksaan. Emosi dan spiritual diperkukuhkan dengan amalan-amalan kerohanian.

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM dan STPM.

Melepasi Sempadan


Senator Barrack Obama mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama dipilih Presiden Amerika Syarikat. Kehadirannya sebagai Presiden Amerika Syarikat memaparkan bahawa generasi Amerika Syarikat yang baru telah bermula, iaitu kepemimpinan multi etnik. Perjuangan politik yang melepasi sempadan keturunan dan bangsa sedang menghambat generasi baru Amerika dan beberapa wilayah termasuk Malaysia.

Bagi membolehkan seseorang menjadi pemimpin kepada bangsa yang pelbagai maka peribadi pemimpin juga perlu mampu dan menampakkan kecenderungannya memelihara dan memajukan kesemua keturunan dan bangsa.

Islam telah mengajar bahawa sempadan keturunan dan bangsa perlu dilepasi dan tiada prasangka atas sifat fizikalnya sebagaimana sebahagian generasi awal dahulu mempertikai peranan Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan bagi kali pertama atas sifatnya berbangsa Habsyi dan keturunan hamba.

Oleh itu, bagi memahamkan manusia tentang kepelbagaian keturunan dan bangsa, ALLah s.w.t menurunkan Ayat 13 Surah Al-Hujurat yang bermaksud "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALlah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya ALlah Maha mengetahui lagi Maha Mengenali".

Islam juga mengajar bahawa kecintaan atau semangat kebangsaan hendaklah bersandarkan keimanan. Rasa cinta terhadap bangsanya atas iman, iaitu mencintai bangsanya supaya kekal dengan keislaman dan mencintai bangsa lain supaya mendekati dan memahami Islam.

Inilah yang menjadi pegangan kita, bukannya kecintaan atas bangsa kerana kepentingan tertentu, kesemuanya hendaklah disandarkan kepada keimanan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

"Tiada beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang ia cintai untuk dirinya" Riwayat oleh Bukhari dan Muslim

Melepasi sempadan berasaskan keimanan kepada ALlah membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh alam. Akhir kata tahniah untuk Obama, moga kepelbagaian keturunannya merapatkan jurang Asia-Amerika.

Selasa, November 04, 2008

Siri 3 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik Ketiga Rasulullah s.a.w lakukan ialah "meraikan kesederhanaan dan menjauhi daripada perkara yang membosankan"(Shuhadak Mahmud,2001). Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat dengan berhati-hati, iaitu mengambil kira masa yang sesuai dan keadaan mereka supaya pendidikan yang dilakukannya menimbulkan kesan yang baik dan menjauhkan daripada kebosanan.

Hal ini memaparkan bahawa Rasulullah s.a.w telah mendedahkan teknik memelihara keadaan minat pendengar atau pelajar perlu diberi perhatian. Perlanggaran disiplin oleh pelajar sekolah yang kian berlaku hari ini antaranya berpunca daripada rasa bosan belajar. Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan supaya matlamat pengajaran dan pembelajaran tercapai.

Seseorang pendidik harus cekap mengendalikan pengajaran dan menguruskan kelas supaya rasa bosan dapat diatasi. Penyelesaiannya memerlukan pendidik menguasai kepelbagaian teknik pengajaran supaya mampu memenuhi kepelbagaian ragam pelajarnya. Akhirnya, pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana kondusif dan ceria, seterusnya memotivasikan pelajar untuk terus belajar.

Inlah misi yang harus pendidik fikirkan, iaitu 'bagaimana' menjadikan pengajarannya mampu menimbulkan motivasi belajar. Selamat Mencuba.