Khamis, Disember 04, 2008

Hidup Sekadar Ikut-ikut??


Tergelincir dalam kehidupan sering berlaku dalam masyarakat kita. Antaranya seperti gagal dalam pelajaran, gagal dalam perkahwinan, dan kehidupan yang bermasalah. Kenapa keadaan ini berlaku?

Antara faktor menjadikan kita tergelincir ialah kita mengamalkan kehidupan 'ikut-ikut' atau mewarisi sahaja apa-apa yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

Apabila genap umur anaknya tujuh tahun, ada ibu bapa yang sekadar ikut-ikut sahaja masyarakat sekeliling menghantar anaknya ke sekolah. Ketika di sekolah anak-anak ini tidak tahu kenapa bersekolah dan tidak tahu menentukan haluan sendiri walaupun telah berada di sekolah menengah. Keadaan yang berlaku hanyalah ikut-ikut sahaja. Jika persekitaran yang membentuknya berkeadaan baik dan betul maka anak-anak ini ikut-ikut perkara yang baik. Jika persekitaran yang membentuknya berkeadaan buruk maka anak-anak ini ikut-ikut perkara yang buruk. Apabila tiba tamat bersekolah, ramai rakan-rakannya yang berkahwin, anak-anak ini melihat dan dia juga perlu ikut-ikut seperti rakan yang lain berkahwin. Tujuan dan sebab berkahwin tidak difikirkan.

Inilah sikap yang ramai antara kita amalkan, kehidupan yang sekadar ikut-ikut sahaja. Keadaan ini perlu dibetulkan agar kegelinciran dapat dielakkan. Apabila melakukan sesuatu kita perlu tahu kenapa dan ke mana yang akan kita tujui dan perolehi, iaitu menjadikan maklumat atau ilmu sebagai sandaran dalam melakukan sesuatu. Inilah yang dikatakan sebagai membudayakan ilmu dalam kehidupan. Dan ilmu yang tertinggi sebagai rujukan dan pegangan kita ialah al-Quran dan as-Sunnah.

Sabda nabi yang bermaksud:

"Telah kutinggalkan bagi kamu sekalian dua perkara, tidak akan sesat kamu selama kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya." (Malik)

Rabu, Disember 03, 2008

Ketuanan Melayu



Isu yang dipanaskan semula ialah 'Ketuanan Melayu'. Pelbagai konotasi dikemukakan mengikut persepsi dan pegangan politik. Blog ini ingin menyentuh isu ini dengan membincangkan makna 'Ketuanan Melayu' berasaskan makna kamus dan memaparkan beberapa maknanya oleh mantan perdana menteri Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir.

Kamus Dewan(2005:1718)menyatakan ketuanan sebagai "hak menguasai dan memerintah sebuah negeri, daerah, dll, kedaulatan."

Kedaulatan pula didefinisikan sebagai "kekuasaan yang tertinggi"(Kamus Dewan, 2005: 320).

Apabila makna kamus 'ketuanan' digabungkan dengan 'Melayu' maka makna yang boleh difahami ialah "Melayu menguasai dan memerintah sebuah negeri, daerah, dan Melayu memiliki kekuasaan yang tertinggi."

Dari sudut bahasa inilah makna yang boleh kita fahami, iaitu Melayu menjadi penguasa, pemerintah, dan pembuat keputusan.

Yang Berbahagia Tun menyatakan seperti berikut :

"Dalam 50 tahun kita merdeka, kuasa politik ada pada kita. Ini membolehkan kita panggil diri kita "Tuan". Tetapi kita tidak Tuan sepenuhnya.Kita boleh jadi Tuan dengan ertikata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga"

dan

"Kita boleh jadi "Tuan" jika kita berani bertindak, kita sanggup menghadapi risiko, kita berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa".

untuk baca lebih lanjut klik sini

Dari sudut undang-undang pemimpin politik Malaysia sama ada parti BN, PAS, PKR, dan DAP telah menerima dan memperakuinya seperti mana disebutkan dalam perlembagaan Malaysia. Bagi penulis isu ini hanya dimainkan semula untuk mempopularkan diri masing-masing di persada politik. Inilah seni politik dan kepemimpinan, mencari isu dan mencipta isu agar segar dalam perhatian penyokongnya.

klik sini (Isu raja dan bahasa)
klik sini (Agenda melayu)
klik sini (DAP dan Pendekatan Islam)
klik sini (Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam)

Selasa, Disember 02, 2008

Senyum Sebentar

Cerita 1 - Tok Batin dan Jam

Seorang ketua orang asli dihadiahkan satu jam dinding oleh sepasukan tentera kerana membantu mereka dalam operasi. Dia amat gembira dan bangga apabila jam itu digantung di depan pintu rumahnya. Ketika itu tiada seorang pun tahu membaca waktu. Suatu hari jam itu berhenti bergerak. Ketua orang asli amat hairan lalu menurunkan jam itu untuk diperiksa. Dia membelek jam itu depan dan belakang. Dengan tidak sengaja dia terkuis baterinya lalu ia pun terjatuh. Dia terlihat bangkai seekor lipas terselit di celah tempat bateri. Dia pun berkata, "Patutlah...drebarnya mati tersepitttttt!"
Cerita 2 - Menyamar
Pemain bola sepak Kampung Tetikus berasa malu apabila kalah dalam satu perlawanan persahabatan di kampung mereka. Kerana terlalu malu Hashim dan Hasan menyamar agar tidak dikenali oleh orang kampung. Hashim menyamar sebagai seorang pemuda Arab. Seorang nenek tersenyum lalu menegurnya,"Hei,Hashim.."Hashim terkejut dan hairan "Bagaimana nenek kenal saya?"
Nenek itu menjawab"La..engkau ni..ini akulah,Roslan!"
Cerita 3-Lesen 'P'
Seorang pak cik tua baru saja lulus lesen menunggang motosikal. Ketika sedang dalam perjalanan ke kedai,dia ditahan polis.
Polis:'P' mana pakcik?
Pak Cik:P Aloq Staq(Loghat Kedah)
Polis:Pak cik nak bergurau pulak.'P'mana pak cik?
Pak Cik:Aku nak pi Aloq Staq.(Dah mula naik angin)
Polis:Amboi,main-main pula pak cik(tersengih)Sekali lagi ni saya tanya ye pakcik,'P' mana?
Pak Cik:Aku habaq Aloq Staq hangpa tak percaya. Apa hangpa ingat aku tak tau ka jalan ni nak pi Aloq Staq. Hangpa jadi polis pun hangpa jangan nak perleceh aku tau!(marah)
Polis:P...P...P...lah pakcik. Aduh,susahnya macam ni.
Pak Cik:Hah!Kan senang macam tu...
(Sumber : Majalah Rapi 1 jan dan Feb 2006)

Isnin, Disember 01, 2008

Kembali 'Blogging'

Syukur dapat kembali di persada maya, blogging, setelah seminggu berdiam. Mohon maaf kepada pengunjung yang menjenguk tika maklumat tidak dikemaskini.


Minggu lalu, penulis meraikan isteri kembali ke kampung halamannya di Kuala Terengganu. Sepanjang minggu ini, talian internet ditinggalkan di rumah.


Kesyukuran juga dipanjatkan kepada Ilahi kerana memelihara perjalanan balik kampung sejauh 450 km dari Kamunting ke Kuala Terengganu. Begitu juga, ALlah s.w.t yang memelihara rumah dan harta benda yang ditinggalkan dijauhkan daripada mala petaka, bencana, dan pencerobohan. Terima kasih juga kepada jiran yang sudi menengok-nengokkan keselamatannya.


Inilah pengalaman kesekian kali, kembali ke Kuala Terengganu pada musim tengkujuh. Sepanjang minggu, siang malam, dilimpahi hujan sehingga akhirnya hari terakhir menenggelamkan beberapa kawasan.



>


Teknologi hari ini mencepatkan penyebaran maklumat dan membantu perjalanan kami sekeluarga memilih laluan yang masih boleh dilalui. Bersyukur juga kerana adanya dua laluan hubungkan Kuala Terengganu ke Jerteh. Laluan Sungai Tong ke Jerteh yang terputus dapat diatasi dengan melalui laluan alternatif, jalan pantai, Kuala Terengganu ke Kampung Raja, Besut. Laluan ini telah ditinggikan dan ada beberapa tempat air sungai hampir separas dengan jalan raya. Jika hujan lebat berterusan berhari-hari laluan ini juga mungkin ditenggelamkan.


Malam terakhir di Kuala Terengganu, tidur dalam kerisauan, hujan lebat, kilat sabung-menyabung. Jam 1.30 pagi tersedar dan pindahkan kereta ke bahagian tinggi kerana air melimpahi halaman rumah sehingga sekaki dalamnya.


Ketika melalui Bukit Bunga dan Ayer Lanas, Kelantan jalan yang boleh dilalui hanya selorong kerana dilimpahi air. Kelihatan di kiri dan kanan jalan di Ayer Lanas, Jeli rumah penduduk ditenggelamkan kira-kira semeter.


Ingin dikongsikan disini, meninggalkan rumah adalah suatu yang dirisaukan, dan berada lama di atas jalan pula risiko yang tinggi untuk kecelakaan kiranya ada kelalaian diri sendiri atau orang lain. Oleh itu, jika ingin tinggalkan rumah dan bermusafir, dirikanlah solat sunat hajat, solat sunat musafir, dan ketika hendak tinggalkan rumah bacalah ayat Kursi dan ayat terakhirnya diulang tujuh kali agar ALlah s.w.t memelihara daripada sebarang pencerobohan. Pintu-pintu bilik eloknya tidak dikunci, jika diceroboh akan tambahkan kerugian kerana kehilangan harta benda dan terpaksa membaiki pintu pula. Keadaan ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Untuk memulakan perjalanan pula bacalah doa menaiki kenderaan dan doa memelihara perjalanan daripada sebarang ancaman atau halangan.

Wassalam dan Salam Bloging