Sabtu, Ogos 15, 2009

Dasar Bahasa

Ruangan Kunta Kinte Berita Harian 14 Ogos 2009(Jumaat) memaparkan bahawa dasar dwibahasa di Malaysia tidak menampakkan kejayaan sama ada bangsa Malaysia benar-benar menjadi bangsa Malaysia yang mampu berbahasa dengan baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Keadaan yang berlaku ialah kita menjadi pengguna bahasa Melayu yang buruk dan pengguna bahasa Inggeris yang buruk.

Apa yang sebenarnya berlaku kepada kita? Persoalan ini telah lama difikirkan dan hingga hari ini belum diselesaikan. Adakah dasar toleransi atau pragmatik yang menjadi amalan selama ini menjadi ruang kepada kepelbagaian keinginan untuk terus menguasai kehidupan kita. Jika dasar ini berterusan dan kita tidak tegas dalam menentukan dasar yang sebenar, matlamat yang sebenar tidak ditemui dan sukarlah membentuk sebuah negara bangsa. Slogan 1 Malaysia yang menjadi teras dalam pembentukan dasar hari ini yang bermaksud semua untuk satu dan satu untuk semua mestilah menjadikan semua kaum mampu berbahasa Melayu dengan baik dan bahasa Melayu mesti diterima sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Di samping memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan memartabat pada kedudukannya, bahasa Inggeris juga dipertingkat penguasaannya supaya kita mampu mendepani cabaran dunia. Namun, 11 tahun murid-murid di Malaysia belajar bahasa Inggeris di sekolah, tetapi setelah tamat, hanya segelintir dapat menguasainya dengan menulis dan bertutur dengan sempurna. Di mana silapnya? Penyelesaian berasaskan masalah sebenar perlu dicari supaya kita mampu menjadi bangsa yang berakar tempatan dan berfikir global sebagaimana harapan Perdana Menteri yang telah menguar-uarkan slogan berfikiran ‘glokal’ (global dan local) suatu ketika dahulu.

Bahasa adalah pengenalan diri sehingga timbul ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’ dan bahasa juga menjadi asas kemajuan diri dan negara. Justeru, penguasaan banyak bahasa menjadikan kita mudah untuk berjaya. Ketegasan undang-undang dan kesungguhan penggunanya mampu menentukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dikuasai dengan sempurna. Perubahan yang perlu dilakukan ialah membentuk sikap yang mencintai bahasa demi jati diri dan berazam serta bersungguh-sungguh untuk menggapai kemajuan.

Tiada ulasan: