Selasa, Julai 29, 2008

Kehidupan Bekerja

Kehidupan bekerja ibarat nakhoda bersama anak kapal. Bahtera didayung secara bersama, nakhoda mengemudi, anak kapal mendayung. Tersalah arah dayungan, kapal terhenti, penat beroleh. Ketika berdayung, nakhoda peka dengan kekuatan anak kapalnya: yang sakit dirawat, yang uzur dipulihkan.
Begitu juga, kehidupan bekerja, ketua bijak merancang, memimpin, dan mengawal pekerja bawahan maka jabatan bergerak terarah dan tersusun. Pekerja bawahan pula, mendengar, mematuhi, dan menerima pimpinan ketua demi kepentingan jabatan. Ketika bekerja, ketua mesti peka dengan kebajikan pekerjanya. Ketua yang mengasihi pekerja dan pekerja menghormati ketua membentuk hubungan yang saling menolong.
Hubungan yang harmoni antara ketua dan kelompok yang dipimpin menjadikan suasana bekerja ibarat nakhoda dan anak kapal yang berdayung dengan satu arah. Bahtera bergerak, tidak terhenti atau karam dilambung ombak. Keharmonian hubungan antara ketua dan pekerjanya membentuk suasana bekerja yang selesa dan rasa kekitaan yang tinggi. Keadaan ini seterusnya menghasilkan impak yang besar dan mampu membentuk lonjakan dalam merealisasikan matlamat.

Tiada ulasan: