Sabtu, Julai 18, 2009

Asam Garam Kehidupan






Kehidupan adalah perjalanan memilih pelbagai pilihan. Justeru, kebolehan membuat keputusan adalah suatu yang penting demi memastikan kehidupan berada pada landasan yang betul. Keputusan yang tepat memberikan kepuasan kepada diri sendiri dan pihak yang lain turut terlibat. Namun begitu, adakalanya berlaku juga kesilapan dalam membuat keputusan. Hal inilah yang membimbangkan kita.






Ramai antara kita yang takut dalam membuat keputusan kerana takut tersilap. Ada yang tidak dapat menerima kesilapan sehingga tidak dapat bertindak dan sanggup membunuh diri. Yang penting berani mencuba dan berani menerima kegagalan. Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana jangkauan akal kita adalah terhad.

Kesilapan harus diterima sebagai panduan kehidupan. Terimalah kesilapan secara positif dan hati terbuka demi keharmonian dalam kehidupan. Resam Melayu mengatakan kehidupan dilalui dengan 'asam garam', iaitu adakalanya masam dan masin yang menggambarkan bahawa kehidupan ini dilalui dengan pelbagai pengalaman yang akhirnya menjadikan kehidupan semakin lengkap.

Jumaat, Julai 03, 2009

Kepemimpinan Adil



Kepelbagaian etnik menimbulkan kepelbagaian perasaan dan pengamatan. Perbezaan wilayah melahirkan kepelbagaian pengalaman. Titik persefahaman dalam kehidupan manusia amat sukar diperolehi kiranya tiada toleransi, keterbukaan, dan hormat-menghormati.


Sejarah Islam memaparkan pemimpin adil yang mendapat petunjuk sehingga digelar Khulafa al-Rasyidin hanyalah kepada empat sahabat Rasulullah, iaitu Saidina Abu Bakr, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman, dan Saidina Ali.

Berikut antara pidato awal selepas dilantik sebagai khalifah :

"Jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Akan tetapi jika aku bersalah, betulkanlah aku kembali. Kejujuran ialah amanat, kedustaan pula suatu khianat...Taatilah aku selama aku taat kepada Allah dan rasul-Nya. Akan tetapi kalau aku melanggar perintah-Nya, jangan ikut aku lagi" Saidina Abu Bakr as-Siddiq


"Demi Allah, akan kubawa umatku ke jalan yang lurus dan selamat"
Saidina Umar al-Khattab


"...ketahuilah bahawa dunia ini dipenuhi dengan tipu daya. Maka janganlah kamu tertipu oleh kemewahan hidup serta tipu daya dunia. Contohilah mereka yang terdahulu daripada kamu..."
Saidina Uthman bin Affan




"Bekerjalah dengan jujur demi perpaduan umat Islam. Orang Islam yang sebenar ialah orang yang selalu menjaga lidahnya dan tangannya daripada mencaci dan mengambil hak orang lain...Patuhilah perintah Allah dan jangan sekali-kali derhaka kepada-Nya. Apabila kamu melihat kebaikan maka kerjakanlah, dan apabila kamu melihat kejahatan, maka tinggalkanlah"
Saidina Ali bin Abu Talib


Moga kepimpinan hari ini dalam pelbagai peringkat serendahnya memimpin diri sendiri, keluarga, kampung, mukim, daerah, negeri, dan negara atau institusi setempat, daerah, negeri, dan negara menjadikan keempat-empat khalifah ini sebagai rujukan dalam tindakan agar keharmonian dan kemakmuran berjaya dimiliki.