Ahad, November 16, 2008

Zahirkan Matlamat



Didik diri untuk kejayaan dengan menetapkan matlamat yang ingin dicapai. Matlamat sebagai penggerak tindakan. Matlamat sebagai impian, namun ia tidak sekadar impian yang diimpikan sahaja. Oleh itu, matlamat perlu ditulis, dilihat, dibaca, dan dihayati.

Matlamat yang ditulis menjadikan tenaga untuk bertindak mencapainya lebih tinggi daripada matlamat yang sekadar lintasan di hati. Setelah ditulis matlamat, lihatlah setiap hari, sebaik-baiknya sebelum tidur dan dilihat pula di pagi hari.

Melihat setiap hari matlamat yang ingin dicapai melahirkan ketekalan semangat. Inilah motivasi utama yang membolehkan ramai orang berjaya di dunia kerana memiliki ketekalan atau istaqamah dalam melakukan sesuatu. Selamat Maju Jaya.

Sabtu, November 15, 2008

Dilema PPSMI


Keputusan UPSR telah diketahui dengan keseluruhannya mengalami peningkatan. Utusan Malaysia(14 Nov.2008) melaporkan seramai 159,234 daripada 511,875 calon yang dijadikan sampel telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan dan menjadikan berita utamanya dengan 'Keputusan UPSR lebih baik'. Namun, dibandingkan jumlah keseluruhan calon dan tempoh enam tahun yang telah dilalui memaparkan bahawa kejayaan perlaksanaan PPSMI perlu dikaji secara berhati-hati demi kejayaan generasi hadapan.

Laporan Utusan Malaysia (14 Nov. 2008) juga melaporkan kenyataan Menteri Pelajaran , Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan "Saya mahu katakan disini apa jua keputusan ia tidak berkaitan kepada UPSR. Kita tetapkan pada tahun ini kerana ia peringkat terakhir selepas enam tahun melalui PPSMI" Seterusnya, Datuk Seri Hishamuddin mengatakan lagi "Orang yang memahami isu PPSMI tahu kerajaan tidak akan membuat keputusan berpandukan UPSR saja kerana banyak perkara harus dipertimbangkan seperti kesan kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan dan ibunda, kesan kepada pembelajaran dan pengajaran matematik dan sains".

Kiranya ini menjadi asas pertimbangan Yang berhormat Menteri, kita amat mengalu-alukan dan berharap dapat dikotakan. Sebagai pencinta bahasa Melayu, kita amat berharap, bahasa Melayu kembali menjadi bahasa utama dunia pendidikan. Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris berperanan penting, namun di peringkat pendidikan asas, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar utama kerana ia bahasa ibunda dan memudahkan sesuatu ilmu diturunkan kepada penerimanya.

Kajian terhadap PPSMI perlu dilakukan secara jujur dan keputusan perlaksanaan seterusnya hendaklah berhati-hati supaya yang dikejar diperolehi dan yang dikendong terpelihara. Kepentingan bangsa dan nusa mestilah menjadi asas pertimbangan. Telah banyak kajian sama ada oleh ahli akademik , NGO , budayawan, dan linguis Melayu tentang isu PPSMI. Seharusnya laporan dan pandangan mereka diberi perhatian agar martabat bahasa Melayu dikembalikan.

Kekadang isu PPSMI ini menjadi gurauan "... mengajar bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu, ...ni nak mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris". Nilailah ungkapan ini, mungkin ada di mana-mana sekolah.

Bahasa Jiwa Bangsa

Jumaat, November 14, 2008

Selamat Bercuti


Tiba hari yang menggembirakan, iaitu, cuti akhir tahun persekolahan. Inilah masa untuk menenangkan fikiran, masa untuk membaiki prestasi, masa untuk mengeratkan kekeluargaan, masa untuk menuntut ilmu, masa untuk menambah pengalaman, dan yang pentingnya masa diisi dengan aktiviti membangunkan diri.

Manusia yang berjaya sentiasa berubah, hari ini seharusnya lebih maju daripada semalam, dan hari esok semakin mematangkan kita. Jadikanlah masa bercuti ini untuk kemajuan diri, agama, nusa, dan bangsa.


Selamat bercuti.

Khamis, November 13, 2008

Antara Adat dengan Syarak







Insan terdidik oleh dua keadaan yang melingkunginya, iaitu, adat dan syarak. Lingkungan kehidupan bersandarkan syarak adalah kehidupan yang mengesakan ALlah dan itulah kehidupan yang membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Lingkungan kehidupan bersandarkan adat pula adalah kehidupan yang berteraskan amalan datuk nenek yang diwarisi zaman berzaman.

Kehidupan berasaskan syarak adalah kehidupan yang sederhana dan menjadikan kehidupan mudah untuk dilalui. Antara kehidupan yang dimudahkan oleh syarak ialah amalan perkahwinan. Perkahwinan adalah antara perkara yang perlu disegerakan agar pembangunan insan bergerak dengan sejahtera. Namun, lingkungan kehidupan bersandarkan adat dan menjadi pohon yang semakin membesar telah membatasi kehidupan sehingga sukar membezakan antara adat dengan syarie.

Syarak menganjurkan perkahwinan dipermudahkan dengan mas kahwin yang munasabah dengan kedudukan pengantin lelaki dan perempuan. Mas kahwin yang tinggi dan hantaran yang melambangkan kemewahan perlu direnung semula. Limpahan rezeki yang dinikmati disalurkan kepada yang lebih memerlukan adalah lebih bermanfaat daripada dihabiskan untuk keseronokan yang sementara.

Begitu juga dengan amalan menguruskan jenazah. Simpanan wang yang besar perlu disediakan agar jenazah terurus. Keluarga yang bersedih atas kematian ahli keluarganya perlu menyediakan sagu hati kepada mereka yang datang bersembahyang. Semakin tinggi peruntukannya semakin ramai yang dipanggil untuk menyembahyangkannya. Jika peruntukan kecil yang datang pun sedikit.

Akhirnya, jika adat semakin mendidik kita maka kehidupan semakin sukar dan kematian turut disukarkan. Ke mana masyarakat kita, adakah akhirnya fatwa perlu dikeluarkan atau pendidikan yang patut dimulakan. Marilah bersama-sama kita renungi di mana dan ke mana yang patut kita tujui?? Wallah hu'alam.

Selasa, November 11, 2008

Antara 'Sajak Kematian' dengan 'Puaka Niyang Rapik'



Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah mempercayai sesuatu khususnya apa-apa yang diucapkan oleh gurunya. Jika ibu dan ayahnya guru, tetap guru di sekolah juga yang dipercayainya.

Video 'Sajak Kematian' dikatakan menimbulkan trauma kepada kanak-kanak, benar, dan tidak boleh dinafikan. Namun, adakah trauma ini membawa keburukan atau kebaikan. Inilah persoalan yang perlu diuruskan oleh guru dan ibu bapa. Trauma yang timbul ialah ketakutan tentang kematian. Jika ketakutan tentang kematian maka inilah yang diingini oleh penerbitnya, iaitu menimbulkan ketakutan supaya insan-insan yang melihatnya memikirkan dan bersedia untuk menghadapi kematian termasuklah kanak-kanak.

Orang tua terdahulu berkata "melentur buluh biarlah dari rebungnya." Oleh itu, tayangan kepada kanak-kanak boleh dianggap betul kerana merekalah golongan yang masih suci dan mudah menerima apa-apa yang diajar. Jika tayangan ini kepada pelajar menengah atau golongan remaja, kesedaran atau impaknya tidak sehebat terhadap kanak-kanak. Mereka hanya sedar ketika ditayangkan dan ada antara mereka yang mempertikaikan isi kandungan dan menganggapnya hanya lakonan semata-mata. Pandangan seperti ini tiada pada kanak-kanak.

Bagaimana dengan trauma siri "Puaka Niyang Rapik". Drama ini juga menimbulkan trauma, kanak-kanak yang menontonnya akan ketakutan, takut ke dapur, takut bersendirian, malah takut di bilik air hingga ketika mandi pintu bilik air dibuka supaya ibu dan ayahnya dapat melihatnya. Adakah kita mendengar suara-suara mempertikaikan siri seram di TV3 ini?

Nabi pernah bersabda yang bermaksud orang paling bijak ialah mereka yang sering mengingati mati. Oleh itu, sepatutnya tayangan video 'Sajak Kematian' sepatutnya diterima dengan baik dan dialu-alukan sebagaimana masyarakat menerima siri seram di TV3 yang juga menimbulkan trauma. Malahan, siri seram TV3 ini boleh membawa kepada syirik apabila terlalu mempercayai apa-apa yang ditayangkan, berbanding 'Sajak Kematian' yang benar-benar akan ditempuhi oleh insan-insan bergelar kanak-kanak apatah lagi dewasa.

Isnin, November 10, 2008

Didik Matlamat


Didik diri menjadi insan gemilang. Capai kegemilangan dengan membina matlamat. Matlamat ditetapkan secara jelas dan mampu dihasilkan.


Matlamat yang jelas teras pembentukan sikap. Matlamat mendorong perancangan gerakan dan menentukan haluan. Tanpa matlamat gerakan kehidupan akan tersesat dan hanya berpusing-pusing pada medan tanpa hentian.


Langkah pertama mendidik diri menjadi insan gemilang ialah menetapkan matlamat. Tetapkan matlamat yang upaya pada diri untuk mencapainya. Elakkan diri daripada menjadi pewaris pada apa yang ada dan hanya memenuhi apa-apa yang diarahkan sahaja. Jadilah insan yang berani mencuba,berani gagal, dan berani mengubah keadaan diri dan persekitaran.
Selamat Maju Jaya.

Ahad, November 09, 2008

Puisi Untuk Renungan


Terdidikkah Insan?

Didik diri insan gemilang
Sabar di kala malang
Syukur di kala senang
Cekal di kala halang

Peka pada keadaan
Jaga dalam kelenaan
Tenang dalam kesibukan
Tertib dalam persaingan

Santuni yang tua
Kasehi yang muda
Ehsani yang derita
Sehati yang sejiwa

Usah alpa pada kesamaran
Usah pinta tanpa haluan
Usah ragu pada kerisauan
Usah leka pada kesenangan

Runtuni akan keesaan
Ratapi akan kesilapan
Renungi dengan keinsafan
Redhai dengan ketentuan....

9 November 2008

Kelahiran - Adi Putra