Jumaat, November 07, 2008

30 Tugas Insan Dalam Masyarakat

Setiap mukmin mempunyai 30 kewajipan terhadap saudara seagamanya. Kewajipan-kewajipan itu dianggap tidak terlaksana melainkan dia sendiri melakukannya ataupun dia dikecualikan atau dimaafkan oleh saudara seagamanya itu daripada melakukannya.

Kewajipan tersebut ialah:
1.memaafkan kesalahan
2.menunjukkan belas kasihan dan berbuat baik terhadapnya semasa dia berada di negeri asing
3.menyimpan rahsia
4.menghulurkan bantuan kepadanya semasa dia hampir jatuh
5.menerima dengan baik apabila dia meminta maaf
6.tidak menggalakkan sebarang umpatan terhadapnya
7.memberi nasihat yang baik kepadanya secara berterusan
8.menghargai persahabatannya
9.menepati apa-apa yang diamanahkannya
10.menziarahinya semasa dia sakit
11.berada bersama-samanya semasa dia meninggal dunia
12.menunaikan undangan dan menerima hadiah-hadiahnya
13.membalas pertolongan yang diberinya dengan cara yang sama


14.mengucapkan terima kasih atas pertolongan-pertolongannya
15.merasa terhutang budi kerana bantuan yang diberinya
16.memelihara kehormatan dan harta bendanya
17.membantu dia memenuhi segala keperluan
18.berusaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya
19.menyebut 'yarhamkallah' semasa dia bersin
20.memandu dan menasihatinya semasa dia kehilangan sesuatu
21.membalas salamnya apabila dia memberi salam
22.mempercayai kata-katanya(tidak memberi tafsiran yang buruk tentang kata-kata itu)
23.menerima pemberian-pemberiannya
24.memberi pengesahan semasa dia bersumpah
25.berbuat baik dan beramah mesra terhadapnya
26.bersimpati terhadapnya dan tidak memusuhinya


27.memberi dia pertolongan apabila dia tidak adil ataupun dia menjadi mangsa ketidakadilan (apa yang dimaksudkan dengan memberi pertolongan semasa dia tidak adil ialah agar dia dikawal daripada berlaku tidak adil,yang dimaksudkan dengan memberi pertolongan semasa dia menjadi mangsa ketidakadilan ialah dia diberi bantuan mendapatkan hak-haknya)
28.menahan diri supaya tidak merasa bosan terhadap dia
29.tidak meninggalkan dia di tengah-tengah kesusahan yang dialaminya
30.Sebarang perkara baik yang seorang mukmin inginkan untuk dirinya sendiri hendaklah diinginkan juga untuk saudara seagamanya, dan sebarang perkara yang dia tidak inginkan untuk dirinya sendiri hendaklah tidak diinginkan juga untuk saudaranya.

[Muhammad Mahdi ibn Abi Dharr al-Naraqi,Jami'al-Sa'adat(The Collector of Felicities)(Tehran:Islamic Propagation Organisation,1985,hlm.27 dalam Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam,INTAN:1994,144]

Khamis, November 06, 2008

Hari Terakhir Sebelum Peperiksaan



Untuk menghadapi peperiksaan dengan tenang dan jaya, perkara berikut perlu diberi perhatian:

1.Kukuhkan kejiwaan melalui restu ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan. Banyakkan membaca al-Quran dan solat hajat.

2.Tidur awal supaya rehat mencukupi dan bangun awal.

3.Bersarapan supaya badan memiliki tenaga dan otak dapat berfikir dengan cergas.

4.Kemaskan diri supaya sentiasa selesa di dewan peperiksaan.

5.Datang awal ke dewan peperiksaan,tiba 15-20 minit sebelum bermula.

6.Pastikan peralatan peperiksaan mencukupi.

7.Atur pengangkutan ke dewan peperiksaan, pastikan lancar.

Minggu Akhir Sebelum Peperiksaan






Minggu hadapan bermula peperiksaan SPM dan STPM, oleh itu pada minggu terakhir ini, kesihatan diri, kerehatan, kestabilan emosi, dan kekentalan semangat perlu dipelihara supaya usaha-usaha persediaan dan pembelajaran selama ini membuahkan hasil yang membanggakan.

Kesihatan diri dipelihara dengan menjaga pemakanan dan persekitaran. Tidur yang mencukupi supaya badan sentiasa segar dan semangat dipelihara agar sentiasa bersemangat dan berkeyakinan hadapi peperiksaan. Emosi dan spiritual diperkukuhkan dengan amalan-amalan kerohanian.

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM dan STPM.

Melepasi Sempadan


Senator Barrack Obama mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama dipilih Presiden Amerika Syarikat. Kehadirannya sebagai Presiden Amerika Syarikat memaparkan bahawa generasi Amerika Syarikat yang baru telah bermula, iaitu kepemimpinan multi etnik. Perjuangan politik yang melepasi sempadan keturunan dan bangsa sedang menghambat generasi baru Amerika dan beberapa wilayah termasuk Malaysia.

Bagi membolehkan seseorang menjadi pemimpin kepada bangsa yang pelbagai maka peribadi pemimpin juga perlu mampu dan menampakkan kecenderungannya memelihara dan memajukan kesemua keturunan dan bangsa.

Islam telah mengajar bahawa sempadan keturunan dan bangsa perlu dilepasi dan tiada prasangka atas sifat fizikalnya sebagaimana sebahagian generasi awal dahulu mempertikai peranan Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan bagi kali pertama atas sifatnya berbangsa Habsyi dan keturunan hamba.

Oleh itu, bagi memahamkan manusia tentang kepelbagaian keturunan dan bangsa, ALLah s.w.t menurunkan Ayat 13 Surah Al-Hujurat yang bermaksud "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALlah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya ALlah Maha mengetahui lagi Maha Mengenali".

Islam juga mengajar bahawa kecintaan atau semangat kebangsaan hendaklah bersandarkan keimanan. Rasa cinta terhadap bangsanya atas iman, iaitu mencintai bangsanya supaya kekal dengan keislaman dan mencintai bangsa lain supaya mendekati dan memahami Islam.

Inilah yang menjadi pegangan kita, bukannya kecintaan atas bangsa kerana kepentingan tertentu, kesemuanya hendaklah disandarkan kepada keimanan berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

"Tiada beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang ia cintai untuk dirinya" Riwayat oleh Bukhari dan Muslim

Melepasi sempadan berasaskan keimanan kepada ALlah membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh alam. Akhir kata tahniah untuk Obama, moga kepelbagaian keturunannya merapatkan jurang Asia-Amerika.

Selasa, November 04, 2008

Siri 3 : Sedutan Buku Nabi Muhammad s.a.w Guru dan Pendidik Terulung (Buku NMGPT)


Teknik Ketiga Rasulullah s.a.w lakukan ialah "meraikan kesederhanaan dan menjauhi daripada perkara yang membosankan"(Shuhadak Mahmud,2001). Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat dengan berhati-hati, iaitu mengambil kira masa yang sesuai dan keadaan mereka supaya pendidikan yang dilakukannya menimbulkan kesan yang baik dan menjauhkan daripada kebosanan.

Hal ini memaparkan bahawa Rasulullah s.a.w telah mendedahkan teknik memelihara keadaan minat pendengar atau pelajar perlu diberi perhatian. Perlanggaran disiplin oleh pelajar sekolah yang kian berlaku hari ini antaranya berpunca daripada rasa bosan belajar. Inilah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan supaya matlamat pengajaran dan pembelajaran tercapai.

Seseorang pendidik harus cekap mengendalikan pengajaran dan menguruskan kelas supaya rasa bosan dapat diatasi. Penyelesaiannya memerlukan pendidik menguasai kepelbagaian teknik pengajaran supaya mampu memenuhi kepelbagaian ragam pelajarnya. Akhirnya, pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana kondusif dan ceria, seterusnya memotivasikan pelajar untuk terus belajar.

Inlah misi yang harus pendidik fikirkan, iaitu 'bagaimana' menjadikan pengajarannya mampu menimbulkan motivasi belajar. Selamat Mencuba.

Jumaat, Oktober 31, 2008

Lambaian Kaabah


Perhimpunan agung umat Islam kembali tiba. Bermula hari ini rakyat Malaysia terpilih beroleh hidayah dipilih sebagai tetamu ALlah s.w.t. untuk mengerjakan ibadat haji. Perlaksanaan ibadat haji memerlukan pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ibadat haji yang berasaskan falsafah perjuangan Nabi Ibrahim alaihissalam, Nabi Ismail alaihissalam dan ibunya Siti Hajar mengimbau dan mengajar kita menjadi umat yang terpilih dan terbaik.

Namun begitu, dalam mengerjakannya kedapatan amalan dilakukan dengan mencampurkan ibadat dan adat. Inilah kecelaruan yang perlu dihalusi. Kini, masyarakat kian membesarkan kenduri untuk mengerjakan haji. Niat melakukannya baik dan memudahkan ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga berziarah dan bermaafan untuk penyucian jiwa dan penjalin silaturahim.

Pengendalian majlis ini ada yang menentang dan ada yang menyokong. Jika kita ingin melakukannya lakukan dengan sederhana dan menjaga adab keislaman. Di pantai barat diisi dengan bacaan Yaasin manakala di pantai timur diisi dengan solat sunat hajat. Kedua-dua pendekatan matlamat sama cuma cara memohon berbeza. Yang mana terbaik...wallahua'lam.

Jika diisi dengan bacaan Yaasin, adab terhadap buku Yaasin perlu dipelihara walaupun ia bukan kitab al-Quran. Dalam buku Yaasin terkandung ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t. Penghormatan kepada buku Yaasin seharusnya sama seperti menjaga adab dengan kitab al-Quran.




Jika al-Quran dibaca dengan kedudukan paling hormat meletakkannya pada rehal yang tinggi melepasi pusat ketika duduk maka buku Yaasin juga harus dihormati seperti itu. Setelah dibaca harap tidak diletakkan di betis atau antara kelangkang atau di lantai. Hormatinya kerana Surah Yaasin memiliki fadilat yang besar dan dianggap hati al-Quran. Jika berbaju Melayu atau berkemeja, poket di bahagian atas mungkin boleh disi dengan buku Yaasin ketika sedang berdoa bukannya meletakkan di tempat yang merendahkan tarafnya.

Moga rasa hormat terhadap ayat-ayat suci ungkapan ALlah s.w.t menjadikan kita insan terdidik dan beroleh keredhaanNya. Kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta semua bakal haji dan hajjah selamat mengerjakan haji semoga beroleh haji yang mabrur.